Subscribe Now

* You will receive the latest news and updates on your favorite celebrities!

Trending News

Blog Post

3 Tempat Best di Sekitar Stesen LRT Masjid Jamek
#RumahKitaMalaysia

3 Tempat Best di Sekitar Stesen LRT Masjid Jamek 

Biasa dengar stesen LRT Masjid Jamek, kan?

Bagi yang selalu guna LRT, wajib tahu stesen transit menghubungkan laluan Sri Petaling/Ampang dan Kelana Jaya ni.

Biasanya, stesen LRT ni diketahui kerana kedudukannya yang paling hampir untuk ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (selain stesen LRT Bandaraya bersebelahan SOGO). 

Tapi, ada 3 lagi tempat best untuk dikunjungi di sekitar stesen Masjid Jamek selain Jalan TAR. Jangan asyik fikir shopping baju raya je dekat sini.

Lokasi pertama wajiblah Bangunan Sultan Abdul Samad. Bangunan ni antara ikon bila sebut Kuala Lumpur dan terletak berhadapan Dataran Merdeka dan Kelab Diraja Selangor. Bangunan ni juga telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan 2007 sekaligus menjadikannya tempat wajib dilawati oleh pelancong dalam dan luar negara.

Yang menarik pastinya senibina bangunan ini. Siap dibina pada tahun 1897, bangunan ni mempunyai tiga kubah dan satu menara jam dengan ciri jelas senibina Moorish serta Moghul. Pula itu, warna bangunan yang seakan-akan kemerahan memberikan nafas vintage kepada lanskap urban Kuala Lumpur.

Satu perkara yang unik ialah dentingan loceng seberat 1 tan setiap jam. Gema bunyi loceng yang kuat itu boleh didengari sejauh Kelab Diraja Selangor.

Juga, bangunan ini menempatkan Muzium Tekstil Negara. Terdapat pelbagai koleksi pakaian, aksesori dan tekstil masyarakat berbilang kaum di Malaysia. 

Lokasi kedua ialah Dataran Merdeka. Di sini, banyak sudut yang dijamin insta-worthy. Tak adalah tangkap gambar dengan background mall je.

Dataran ni menjadi saksi saat bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaya dinaikkan buat kali pertama. Sejak itu, Dataran Merdeka sentiasa menjadi pilihan sebagai tempat perarakan sambutan kemerdekaan serta acara-acara lain yang dijalankan sepanjang tahun. 

Dataran Merdeka mempunyai bahagian bawah tanah yang dipanggil Plaza Dataran Merdeka. Diceritakan kononnya bahagian bawah tanah ini berfungsi sebagai terowong keselamatan sekiranya berlaku peperangan. Tak tahulah betul ke tidak. Sehingga kini, Plaza Dataran Merdeka mempunyai pelbagai gerai makanan dan gerai cenderahati.

Lokasi terakhir, River of Life, merupakan tarikan paling baru berdekatan Stesen Masjid Jamek. Paling sesuai dikunjungi pada waktu malam memandangkan lampu berwarna-warni yang dipasang menjadikan tempat ini cantik dan menakjubkan. 

Tambahan lagi, River of Life menonjolkan kedudukan Masjid Jamek yang terletak di antara pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak. 

Ada kalanya, kita teruja dengan cerita-cerita tempat orang sehinggakan terlepas pandang keindahan tempat sendiri. 

Kita cerita pasal tempat best di Kuala Lumpur dalam perkongsian yang lain pula ye.

Facebook Comments

Related posts

Leave a Reply

Required fields are marked *