Subscribe Now

* You will receive the latest news and updates on your favorite celebrities!

Trending News

Blog Post

3H2M Itinerari Trip Makan-Makan Di Sekitar Bandar Melaka & Klebang
#RumahKitaMalaysia

3H2M Itinerari Trip Makan-Makan Di Sekitar Bandar Melaka & Klebang 

Written by: Bilal

Sekitar Januari yang lalu, saya berkesempatan menjelajah secara solo ke Melaka dengan menggunakan pengangkutan awam. Perjalanan saya bermula daripada Terminal Bersepadu Selatan dengan menaiki bas Delima Ekspress (RM10.00 / hala, anggaran perjalanan lebih kurang 2 jam setengah) ke Hentian Bus Terminal Melaka Sentral. Saya memilih Delima Ekspress kerana beberapa faktor; tambangnya adalah lebih murah dan kedua, kekerapan bas lebih banyak berbanding syarikat bas yang lain.  Jikalau saya terlepas menaiki bas, saya masih lagi boleh naiki bas seterusnya tanpa sebarang kerisauan.  Ulasan dari pengguna juga banyak yang positif.

Hari Pertama

9.00 AM: Perjalananan bas mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. Sepanjang perjalanan, boleh nak melelapkan mata seketika atau melihat ke luar tingkap bas menikmati pemandangan. Bagi saya, tidur sebentar menjadi pilihan. 

11.00 AM: Sampai sahaja di Hentian Bas Terminal Melaka Sentral, saya mengambil servis “GrabCar” untuk ke penginapan di kawasan yang tidak jauh dari Jonker Street, Melaka. Mudah, tidak sampai setengah jam dengan kadar tambang RM8.00 sudah sampai ke destinasi dengan trafik yang terkawal.  

Penginapan yang saya tempah, adalah “Muk by Victoria Home Melaka” untuk menginap selama 2 malam. Memandangkan ada promosi daripada Agoda untuk RM49.00 satu malam sebelum perjalanan, tanpa berlengah terus saya membuat tempahan dan bilik tersebut agak luas dengan rekaan dalaman yang cukup versatil dan esklusif.

Muk by Victoria Home Melaka

Memandangkan waktu ‘check in’  (3.00pm) masih belum dibuka, saya letakkan dahulu beg saya di ruangan lobi yang sudah disediakan untuk kemudahan tersebut dan memulakan perjalanan mencari makanan untuk makan tengahari. 

1.00 PM: Saya berjalan ke Jonker Street (anggaran 10 minit berjalan kaki) dari penginapan dan mencari beberapa pilihan makanan yang ada. Saya memilih untuk menikmati Cendol Durian sebagai permulaan di lokasi Jam Besar Bandar Hilir Melaka. Dengan suhu yang agak panas, membuat tekak terasa nyaman apabila menikmati air batu Cendol yang dikisar halus sambil menikmati pemandangan sungai ‘River Walk’ yang menarik di Jonker Street.

Riverwalk Melaka

2.00 PM: Saya meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke Restoran yang agak terkenal dengan  nasi bebola ayam, Ee Ji Ban Chicken Rice Ball Halal Melaka, tidak jauh dari Dataran Pahlawan (15 minit berjalan kaki). Boleh dikatakan banyak pengunjung yang sedang menikmati hidangan tengahari di sini. Saya mencuba beberapa menu yang ada, dan boleh saya katakan nasi bebola ayamnya sedap dan memenuhi citarasa saya. 

Ee Ji Ban Chicken Rice Ball

3.00 PM: Pulang semula ke penginapan dan proses ‘check in’ berjalan dengan lancar. Masuk sahaja ke dalam bilik, ruangnya boleh dikatakan cukup besar dan sepertimana gambar yang divisualkan di dalam Agoda. Saya mengambil masa berehat dahulu buat seketika.

Quadruple Deluxe Bedroom

8.00 PM: Saya berjalan kaki ke salah satu warung, Mee Hassan yang cukup terkenal dengan hidangan mee goreng yang diberi nama “Mee Goreng Bodoh”. Dengar namanya sahaja boleh membuatkan rasa geli hati dan terasa ingin mencuba merasa sendiri makanan yang sering disebut-sebut di kalangan penduduk Bandar Melaka. Perjalanan hanya mengambil masa 10 minit berjalan kaki dari tempat penginapan. Apabila sampai sahaja di warung tersebut, saya sedikit terkejut melihat warungnya dipenuhi dengan pengujung. Saya terpaksa mengambil giliran dengan beratur untuk mendapatkan Mee Goreng Bodoh. 

Warung Mee Hassan
Mee Goreng Bodoh

Setelah mendapatkannya, baru saya tahu kenapa ianya dipanggil Mee Goreng Bodoh. Ianya hanya mee goreng tanpa daging, tetapi disertakan dengan telur mata goreng dan sambal. Cukup ‘simple”! Dan rasanya boleh dikatakan sedap juga. Saya pulang dengan perut yang kenyang.

Hari Kedua:

9:00 AM: Saya mengambil keputusan untuk bersarapan di Klebang di mana untuk ke sana saya perlu mengambil servis ‘GrabCar’.  Perjalanan mengambil masa 10 minit untuk ke destinasi, Restoran Klebang Original Coconut Shake. Sampai sahaja di restoran tersebut, saya memesan Kuey Teow Sup & Nasi Lemak Melaka berserta dengan Coconut Shake Klebang. Saya menikmati sarapan yang cukup sedap pada hari tersebut.

Kuey Teow Sup, Nasi Lemak Melaka & Coconut Shake Original Klebang

10:00 AM: Saya meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Pantai Klebang dengan menaiki ‘GrabCar’ tidak jauh dari restoran. Sampai sahaja di pantai, saya menikmati udara segar yang bertiupan dan berjalan santai sambil mendengar deruan ombak yang memecah pantai. Beristirehat di bawah rimbunan pokok yang sedia ada di pantai tersebut cukup membuatkan hati terasa nyaman.

Pantai Klebang
Pantai Klebang

12:00 PM:  Seterusnya, saya mengambil perkhidmatan GrabCar sekali lagi untuk makan tengahari di Restoran Kuih Keria Antabangsa Limbongan. Saya memesan menu utama, Nasi Asam Pedas Pari dan Kuih Keria Gula Melaka sebagai pemanis mulut.  Tidak menyesal untuk menjamah keenakan hidangan di restoran ini.

Nasi Asam Pedas & Kuih Keria Gula Melaka

1:00 PM: Menaiki ‘GrabCar’ dan terus ke Jonker Street untuk membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang iaitu, Tart Nenas Melaka. Dalam masa yang sama, saya juga berjalan-jalan sekitar pekan Jonker Street sambil menghayati dan menikmati keindahan dan keunikan bangunan-bangunan lama di kawasan tersebut.

Jonker Street Melaka

5.00 PM: Balik semula ke penginapan dengan berjalan kaki dan sambung berehat sepanjang hari. 

Hari Terakhir:

09:00 AM: Trip 3 hari 2 malam di Bandar Melaka melabuhkan tirai. Selepas proses ‘check out’ selesai, saya menaiki ‘GrabCar’ dan menuju ke Hentian Bus Terminal Melaka Sentral untuk kembali ke ibukota Kuala Lumpur.

Terima Kasih Bandar Melaka! Pengalaman yang tak dapat saya lupakan!

Berminat dengan pakej-pakej domestik Malaysia? Lawati H.I.S. Travel Malaysia dan dapatkan pakej anda di sini

Facebook Comments

Related posts

Leave a Reply

Required fields are marked *