#RumahKitaMalaysia, Kedah, Langkawi

7 Perkara Mengenai the Ritz Carlton, Langkawi

Written by: Yadi

Cerita yang dikongsikan merupakan pengalaman peribadi saya sewaktu bercuti bersama keluarga di The Ritz Carlton Langkawi pada Mac 2018. Kini, berkemungkinan ada beberapa perkara yang sedikit berbeza daripada pengalaman yang saya ceritakan memandangkan mungkin ada perubahan yang dibuat oleh pihak hotel. Jom ikuti kisah saya bersama The Ritz Carlton Langkawi. 

1. Bilakah The Ritz Carlton Langkawi dibuka?

The Ritz Carlton Langkawi telah dibuka pada 21 September 2017. Untuk pengetahuan anda, The Ritz Carlton Langkawi merupakan hotel peranginan kedua The Ritz Carlton di Malaysia selepas The Ritz Carlton Kuala Lumpur dan merupakan di bawah rangkaian Marriot International Hotels. The Ritz Carlton Langkawi terletak di Jalan Pantai Kok dan kira-kira 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Jika anda datang dari arah lapangan terbang ke arah Langkawi Cable Car, The Ritz Carlton terletak di sebelah kiri selepas Century Langkawi Beach Resort dan sebelum Telaga Harbour Marina.

2. The Ritz Carlton Langkawi tiada kaunter daftar masuk dan daftar keluar?

Walaupun tiada kaunter untuk urusan daftar masuk dan daftar keluar, The Ritz Carlton Langkawi mempunyai Arrival Lodge terbuka bagi urusan daftar masuk. Lodge terbuka bagi urusan daftar masuk manakala lounge tertutup bagi urusan daftar keluar. Setiap tetamu yang datang akan ditempatkan di sini dan staf sendiri yang akan datang kepada anda bagi urusan proses daftar masuk. Ia berbeza dengan hotel lain kerana perkhidmatan di sini lebih privasi dan tidak dijalankan di kaunter. Anda hanya perlu duduk di sofa dan segala urusan akan dilakukan disitu. Sementara urusan daftar masuk diuruskan oleh Nazri (kakitangan kaunter hadapan bertugas), kami diberikan cold towel dan dihidangkan dengan welcome drink campuran air kelapa dan bunga raya yang sangat menyegarkan. Anda pasti akan menyukai keunikan rasa welcome drink tersebut. Arrival lodge ini berkonsep terbuka dan menampilkan seni bina tradisional yang terletak di lereng bukit dan menghadap laut yang sangat mendamaikan. Sambil menunggu urusan daftar masuk dijalankan, anda dapat menikmati pemandangan yang menarik sambil menghirup udara segar. 

3. Bagaimanakah pergerakan di dalam The Ritz Carlton Langkawi? 

Setibanya kami di Arrival Lodge, kami disambut mesra oleh kakitangan hotel dan kami hanya perlu memberikan kunci kenderaan kepada mereka dan urusan meletak kenderaan serta bagasi akan diuruskan oleh pihak hotel. Kami hanya perlu menunggu di Arrival Lodge bagi urusan pendaftaran masuk. Setelah selesai, kakitangan hotel akan menghantar tetamu dengan menaiki buggy terus ke bilik. Memandangkan kami tiba sedikit awal, kami ditawarkan untuk bersiar-siar sekitar kawasan hotel oleh Nazri sementara menunggu mereka menyediakan bilik dan Nazri sendiri yang memandu buggy sambil memberikan penerangan mengenai kemudahan yang ditawarkan oleh The Ritz Carlton Langkawi.

4. Berapakah jenis penginapan yang terdapat di The Ritz Carlton Langkawi?

The Ritz Carlton Langkawi menawarkan 2 jenis bilik iaitu Rainforest Deluxe dan Rainforest Junior Suite manakala bagi Villa pula terdapat 6 jenis iaitu Rainforest Villa, Junior Beach Villa, Ocean Front Villa, Grand Ocean Front Villa, Villa Kenari (2 bilik tidur) dan Villa Mutiara (3 bilik tidur). Setiap blok penginapan diberikan nama-nama bunga yang menampilkan senibina kontemperori padanan moden dan tradisional. Nama blok tersebut adalah Seroja, Melati, Melur, Mawar, Kemboja, Cempaka, Anggerik, Dahlia, Kenanga dan Alamanda. Kami telah ditempatkan di blok Anggerik 7 unit 372 dan 373 yang terletak tidak terlalu jauh dari Arrival Lodge dan juga Langkawi Kitchen iaitu restoran yang menghidangkan sarapan pagi bagi tetamu. 

Peta The Ritz Carlton Langkawi.

Pintu masuk ke Blok Anggerik 7.

5. Apakah kemudahan yang terdapat di Rainforest Deluxe Room?

Rainforest Deluxe Room ini berkeluasan 802 kaki persegi dan dilatari dengan kehijauan hutan hujan yang sangat menenangkan. Kapasiti bilik ini adalah untuk 2 orang dan maksimum 3 orang dengan extrabed. Kita boleh pilih bilik sama ada katil bersaiz king atau 2 katil bersaiz queen. Saya telah memilih katil bersaiz king untuk unit 373 dan 2 katil bersaiz queen untuk unit 372. Selain itu, bilik ini terbahagi kepada beberapa ruangan iaitu ruangan bilik tidur yang dilengkapi sofa bed, televisyen bersaiz 48 inci yang akan tertera nama anda dan ruangan makan di tepi tingkap.

Selain itu, bilik ini juga dibahagikan kepada bahagian bilik mandi yang cukup besar yang dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu tandas, ruangan pancuran, ruangan tab mandi di tepi tingkap dilengkapi langsir dengan kawalan elektronik untuk mengekalkan privasi semasa di bilik air, sinki berkembar yang dilengkapi dengan lampu dan cermin solek serta bilik solek di belakang pembahagi antara bilik tidur dan bilik air yang boleh dibuka. 

Apa yang lebih menarik mengenai bilik mandi adalah The Ritz Carlton Langkawi menggunakan produk mandian daripada Asprey London iaitu rangkaian produk mandian Purple Water yang digunakan di semua rangkaian The Ritz Carlton seluruh dunia.

Katil king Rainforest Deluxe Room dan belakang dinding adalah bilik mandi.

Ruangan makan di Rainforest Deluxe Room.

Fruit platter yang dihantar bersama dengan nota dari Pengurus Besar The Ritz Carlton Langkawi.
Televisyen 48 inci yang tertera nama tetamu di sudut kanan atas.

Tab mandian di bilik air berdekatan tingkap dan langsir yang boleh dikawal secara elektronik untuk privasi anda.

Sinki berkembar yang dilengkapi cermin besar, lampu serta cermin solek berlampu.

Produk mandian Purple Water oleh Asprey London.

6. Apakah kemudahan yang ditawarkan di The Ritz Carlton Langkawi?

The Ritz Carlton Langkawi menawarkan pelbagai kemudahan untuk tetamu mereka. Antaranya adalah Dewan Sultan Abdul Halim dan ruangan bagi mesyuarat dan pelbagai acara. Selain itu, The Ritz Carlton Langkawi juga menawarkan 4 buah restoran, pantai persendirian yang memutih, 3 buah kolam renang, spa di atas air, Kelab Ritz Kids khas untuk kanak – kanak, salon VIP, pelantar untuk yoga, gimnasium, gelanggang tenis, butik cenderamata serta perkhidmatan urusan perjalanan dan pengembaraan.

7. Berapakah restoran yang terdapat di The Ritz Carlton Langkawi?

Terdapat 4 buah restoran yang menawarkan pelbagai jenis makanan iaitu Langkawi Kitchen yang menawarkan makanan Melayu, Cina dan India bagi sarapan pagi dan juga makan malam. Seterusnya, The Beach Grill pula berkonsepkan restoran di tepi pantai yang menawarkan makanan berasaskan makanan laut yang menjanjikan rasa yang cukup enak. Restoran seterusnya adalah Haiyan yang menawarkan pilihan makanan laut bercitarasa Cina yang terletak di hujung The Ritz Carlton dengan pemandangan Laut Andaman 180 darjah. Haiyan hanya dibuka untuk makan malam sahaja manakala Horizon merupakan kemudahan menjamu selera berkonsepkan restoran dan bar terbuka yang terletak di tepi kolam renang. Ia menjadi tumpuan bagi tetamu yang inginkan suasana yang tenang sambil menikmati matahari terbenam. Ia menghidangkan makan tengah hari, makan malam serta minuman kepada tetamu. 

Kami berpeluang menikmati sarapan pagi di Langkawi Kitchen. Langkawi Kitchen menawarkan seleksi makanan dari kaum Melayu, Cina dan India serta pastri. Ketika sampai, kami disapa mesra oleh Bella dan memberikan pilihan sama ada mahu bersarapan di dalam atau di luar dan semestinya kami memilih di ruangan luar sambil menikmati pemandangan. Di sini sedikit berbeza dengan hotel lain kerana minuman perlu dipesan dan akan dihidangkan oleh kakitangan restoran. Ia menunjukkan mereka mementingkan perincian dalam memberi layanan kepada tetamu. Seterusnya air yang dipesan dihidangkan oleh Izzat. Kedua-dua mereka iaitu Bella dan Izzat akan datang ke meja kami dalam selang beberapa minit untuk bertanya sekiranya kami memerlukan tambahan minuman dan ada ketikanya Bella datang berbual dengan kami dan ini menunjukkan mereka sangat mementingkan dan menitikberatkan komunikasi serta layanan yang terbaik kepada tetamu. 

Sewaktu menikmati sarapan pagi di Langkawi Kitchen.

Bella, tiga dari kanan dan Izzat dua kiri antara kakitangan yang melayan kami di Langkawi Kitchen.

Secara keseluruhan, pengalaman di The Ritz Carlton Langkawi memberikan seribu satu kenangan yang tidak dapat dilupakan. Bermula sewaktu tempahan sehinggalah di saat meninggalkan The Ritz Carlton Langkawi dipenuhi dengan kenangan terindah. Layanan yang diberikan oleh setiap seorang Ladies and Gentlemen, The Ritz Carlton Langkawi membuatkan hati berada dekat dengan mereka. Jika berkesempatan dan ada rezeki, pastinya saya akan berkunjung ke The Ritz Carlton Langkawi dan menghabiskan masa lebih lama lagi. Sekiranya anda ingin melihat gambaran lebih jelas mengenai Rainforest Deluxe room, anda bolehlah menonton sebahagian video yang saya rakamkan ketika itu menerusi sini.

Berminat dengan pakej-pakej domestik Malaysia? Lawati H.I.S. Travel Malaysia dan dapatkan pakej anda di sini

Terima kasih, 

Yadi

Facebook Comments