Subscribe Now

* You will receive the latest news and updates on your favorite celebrities!

Trending News

Blog Post

Muzium Sabah
#RumahKitaMalaysia

Muzium Sabah 

Kalau sebut Sabah, mesti terus fikir Kundasang atau Gunung Kinabalu. Tak pun, ikan bilis mata biru.

Jangan tak tahu pula. Sebenarnya, banyak lagi tempat menarik dekat Sabah ni. Dengan keindahan alam sekitar serta keunikan variasi budaya di sini, Sabah pastinya dapat membuatkan kita nak datang lagi.

Salah satu destinasi wajib pergi kalau sampai di sini, mestilah Muzium Negeri Sabah.

Kompleks seluas 43 ekar ini terletak di Bukit Istana Lama, Kota Kinabalu. Kompleks ini terbahagi kepada 4 bahagian. Bangunan utama (turut menempatkan galeri seni lukis Sabah), pusat sains dan pendidikan, kampung budaya dan taman botani.

Sila pakai kasut yang selesa kalau datang ke sini. Memang berpeluh nak tawaf keseluruhan kawasan.

Tarikan pertama yang memukau pengunjung pastilah tulang ikan paus Bryde sepanjang hampir 20 meter. Bukan model papier marche. Ni tulang betul-betul dan lengkap. Letaknya di pentas pameran sebaik pengunjung masuk ke bangunan utama.

Bangunan utama juga menawarkan beberapa tema untuk ruang pamerannya. Tema seperti zoologi, senjata, adat resam dan budaya, busana serta aktiviti sosioekonomi dapat memberikan pengalaman yang berharga. Daripada yang terawal seperti penemuan arkeologi Borneo purba sehinggalah suasana Sabah pasca kemerdekaan.

Pusat sains dan pendidikan pula menawarkan seputar revolusi teknologi di Sabah. Paling mencuri perhatian, gerabak keretapi retro yang pernah digunakan untuk bergerak dari Jesselton (nama lama Kota Kinabalu) ke Tenom.

Ada juga troli yang cuma boleh bergerak di atasan landasan. Sepenuhnya berfungsi dengan tangan dan digunakan pada awal munculnya keretapi di Sabah. Turut sama dipamerkan di sini ialah kereta-kereta antik.

Bersebelahan dengan pusat sains dan pendidikan, terdapat muzium kesenian Islam. Di sini, pameran artifak dan diaroma yang memberikan gambaran jelas tentang sejarah kehadiran Islam di Sabah.

Berdekatan dengan muzium tadi, letaknya taman botani. Terdapat pelbagai tumbuhan dan pokok herba yang mungkin sukar ditemui di tempat lain. Maklumat tentang tumbuhan serta aplikasinya turut sama tercatat jelas.

Akhir sekali, kampung budaya yang tidak kurang hebatnya. Pengunjung perlu menuruni tangga pada bahagian luar bangunan utama. Dengan kedudukannya di tengah-tengah hutan, kampung budaya menjanjikan pengalaman yang estetik dan asli.

Pengunjung boleh menaiki titi gantung merentasi tasik sebelum tiba ke kampung budaya. Bagi yang tidak mahu mencuba, bolehlah berjalan pada denai mengelilingi tasik tadi.

Di sini, tidak kurang daripada 10 buah rumah yang dibina mengikut etnik-etnik utama Sabah. Rumah ikut skala asal. Pula itu, setiap rumah mengekalkan ciri-ciri spesifik etnik. Contohnya, rumah etnik Bonggi yang lengkap dengan menara tinjau. Tak boleh la nak panjat. Tengok je ye.

Rumah-rumah ini dibina berdekatan tasik untuk memberikan suasana yang lebih surreal. Tambahan lagi, terdapat sudut yang diperuntukkan pada setiap rumah untuk jualan cenderamata hasil kraf etnik tersebut.

Kalau nampak tengkorak bergantung di mana-mana rumah (tak nak sebut rumah mana satu. bagi lebih suspen), tu tengkorak manusia sebenar tau.

Kompleks muzium ni dibuka untuk pengunjung bermula 9 pagi sehingga 5 petang.

Harga tiket seperti berikut:

Warganegara (dewasa/kanak-kanak) : RM2

Bukan warganegara (dewasa/kanak-kanak) : RM15

Jangan lupa singgah di sini kalau sudah jejakkan kaki di Kota Kinabalu. Sambil cari tempat isi perut tu, jangan lupa isi minda sekali.

Tak rugi!

Berminat dengan pakej-pakej domestik Malaysia? Lawati H.I.S. Travel Malaysia dan dapatkan pakej anda di sini

Facebook Comments

Related posts

Leave a Reply

Required fields are marked *